LAMAN WEB PAK DINO

Satu Perkongsian Pengalaman

PENGENALAN

Assalamualaikum dan selamat datang ke lamanku. Aku mengambil kesempatan ini untuk mencoretkan segala pengalaman hidupku selama 63 tahun. Sekurang-kurangnya dapat diabadikan sejarah hidupku yang penuh berliku-liku untuk tatapan waris-warisku.

Perkongsian pengalamanku ini mungkin dapat dijadikan pedoman dan panduan kepada generasi akan datang.  Yang elok tu jadikan teladan dan yang buruk itu jadikan sempadan.

Pengetahuan tentang komputer ini bermula hasil dari sifat amarahku. Aku dipilih untuk menyertai suatu kursus pengendalian komputer di Bangkok selama sebulan. Tetapi ketuaku, seorang yang sebangsa dan seagama denganku telah membatalkannya dan menggantikan dengan seorang yang berbangsa lain dariku.  Perasaan marahku meluak.

Namun aku berhasil menukarkan sifat negatif kepada positif. Aku terus belajar sendiri, membaca dan bertanya rakan-rakan yang mahir. (Aku malu untuk mengikuti kelas komputer kerana rata-rata pelajarnya adalah para remaja. Kalau aku masuk, sudah tentu aku dilantik sebagai ketua kelas.)

Aku mahu membuktikan kepada ketuaku bahawa tanpa pergi ke Bangkok pun aku masih boleh mendapat ilmu yang sama di sini. 

Sedikit demi sedikit aku menguasai kemahiran komputer. Akhirnya setelah mengambil masa yang lama, setelah melakukan beberapa "trial & error" aku mula menguasai kemahiran ini. Sebelum rakanku pulang dari Bangkok, aku sudah boleh memberi ceramah tentang perkara yang sepatutnya aku pelajari di sana. Sebaliknya, rakanku yang pergi tadi, apabila balik, tidak mahu berkongsi ilmu yang dipelajarinya.

Disamping itu aku berkenalan dengan seorang empunya kedai komputer dan menawarkan pertolonganku untuk memasarkan barang-barangannya. Hasil daripada penglibatanku dalam perniagaan ini, aku berupaya menampung sebahagian perbelanjaanku mengerjakan umrah bersama isteri pada setiap tahun.

Sebenarnya semasa aku mengerjakan Haji pada tahun 1996, aku  telah berdoa di Multazam dan Raudhah supaya Allah memurahkan rezekiku - bukan untuk menjadi kaya. Tetapi dengan rezeki itu aku ingin membuat kebajikan dan sekiranya ada lebih aku ingin mengerjakan Umrah setahun sekalai. Alhamdulillah, hasratku tercapai hingga kini.

Terima kasih kerana melawat laman ini.   Sila sign guestbook.